Sumber dipetik dari Berita Harian
SHAH ALAM: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, bakal mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini tidak lama lagi.
Meskipun mengambil keputusan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak pernah padam sejak lebih 10 tahun lalu.
Bidang muzik menjadi pilihan memandangkan ia seiring dengan kerjayanya sebagai penyanyi, dan beliau percaya UiTM adalah tempat terbaik untuk menggenggam sekurang-kurangnya segulung diploma dalam bidang berkenaan.
"Siti sedang berbincang dengan pihak UiTM, dan insya-Allah sekiranya semuanya berjalan lancar, Siti akan meneruskan pengajian seperti yang dirancang," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan persembahan pada Malam Gala dan Karnival SimplySiti.
Perkara itu turut disahkan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar pada sidang akhbar berkenaan.
Dr Sahol Hamid berkata, UiTM sedang berbincang mengenai perkara itu dan sedia menerima Siti Nurhaliza yang berhasrat menyambung pengajiannya.
"Kita akan meneliti beberapa perkara dan menyambut baik hasrat Siti, lebih-lebih lagi kesediaannya membantu bersama-sama memungut dana untuk Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM yang ditubuhkan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian," katanya.
Siti Nurhaliza, melalui SimplySiti Sdn Bhd, bekerjasama dengan UiTM sempena konsert Malam Gala bagi meraikan sambutan ulang tahun pertama syarikat milik penyanyi itu, yang diadakan di sini malam tadi.
0 Komen:
Post a Comment