CHELSEA telah menghantar surat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung gangguan berbentuk perkauman terhadap pemainnya, Yossi Benayoun pada aksi persahabatan menentang Pilihan Malaysia di Kuala Lumpur minggu lalu.
Pemain Israel itu diejek dan disiul oleh penyokong-penyokong tempatan sepanjang berada di atas padang pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.
Chelsea pada mulanya tidak membuat bantahan segera selepas perlawanan kerana mereka tidak pasti apakah punca sebenar Benayoun diberikan layanan tersebut.
Namun mereka kini membuat keputusan untuk menghantar aduan tersebut setelah mendapat gambaran sebenar daripada para penyokong Chelsea di negara ini tentang insiden tersebut.
“Kami ingin mengesahkan bahawa kami telah menghantar surat aduan rasmi kepada FAM berhubung layanan buruk diterima Benayoun pada aksi Khamis lalu (21 Julai).
“Biarpun tidak membabitkan keseluruhan penonton, kebanyakan mereka pada malam tersebut melakukannya. Kami percaya Benayoun menjadi sasaran sebahagian penonton kerana isu anti Yahudi,” kata kenyataan Chelsea awal pagi tadi.
Tambah kenyataan itu lagi, tingkahlaku para penonton tersebut telah menyinggung perasaan pemain itu dan langsung tidak boleh diterima dalam sesuatu perlawanan bola sepak.
“Setelah mengambil masa untuk menimbang segala sudut berhubung isu ini, ternyata satu aduan rasmi perlu kami lakukan.
“Sepanjang berada di Malaysia, secara keseluruhannya kami telah mengalami satu pengalaman yang cukup positif untuk jelajah pramusim ini.
“Namun agak memalukan apabila sikap segelintir penyokong ini menjadikan ia turut terpahat dalam memori kami,” jelas kenyataan itu.
Sumber– mynewshub.my
0 Komen:
Post a Comment